Hello to you all... are you happy right now? Sure... OK... Let me to introduce myself.. I'm Khairrul Adzwan from Malaysia.... I really like to meet actor and actress in the world.. I really want to be professional actor (juz creeping)... About my hobby, i very like to decorate something like landscape, gardening, interior design and so on... I wanna be a kind and good person, honest, proud myself and famous... But I really dislike hypocrite and rotten inside.... So make sure be yourself... Nothing much..!! Hahahahahahahaha....
0

"PERUTUSAN HARI GURU"


Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatu...

Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin, limpah kurnia dan inayah-Nya, kita dapat merayakan Hari Guru yang ke-39 dalam suasana aman, meriah dan gembira. Sesungguhnya tanggal 16 Mei ini amat penting dan sangat bermakna kerana kita semua mempunyai guru-guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Inilah waktu terbaik untuk kita luahkan setinggi-tinggi rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak berbudi kepada agama, bangsa dan juga negara.

Sedar tidak sedar, tahun ini merupakan tahun kedua saya menyambut perayaan Hari Guru sebagai bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tenggara 2 dan Guru Tambahan (Tuisyen). Sepanjang tempoh setahun lebih di sini, semakin banyak yang saya fahami dan semakin banyak yang saya pelajari tentang warga pendidik dan juga tentang profesion keguruan. Dalam tempoh setahun lebih ini, pastinya warga pendidik juga semakin memahami diri dan pendirian saya, baik mengenai profesion keguruan, mengenai pendidikan anak bangsa mahupun mengenai wawasan serta hala tuju pendidikan negara. Saya lebih rela menjadi tidak popular kerana bagi saya yang penting bukan saya, tetapi masa depan anak-anak kita.

Tema Hari Guru pada tahun ini kekal sama buat kali kedua, iaitu “Guru Pembina Negara Bangsa” Tema ini amat bertepatan dengan keperluan semasa kerana dalam era globalisasi dan K-ekonomi, negara kita terpaksa bersaing dengan negara lain di atas dasar kualiti. Kita tidak mempunyai pilihan, melainkan berusaha bersungguh-sungguh untuk melahirkan generasi masa hadapan Malaysia yang amat mengutamakan kualiti dalam setiap pekerjaan mereka. Justeru, tidak hairanlah jika Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Najib bin Tun Abdul Razak memberikan penekanan yang begitu tinggi terhadap bidang pendidikan. Reformasi pendidikan yang ingin beliau bawa diharap dapat melahirkan generasi masa hadapan yang betul-betul boleh mengangkat Malaysia ke suatu tahap yang lebih Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

Dalam hal ini, kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa guru merupakan golongan yang berada di barisan paling hadapan dan merupakan pemangkin untuk memastikan hasrat ini menjadi kenyataan. Segala ini bermaksud, jika cabaran globalisasi menuntut agar rakyat Malaysia menjadi lebih berpengetahuan, lebih berkemahiran, lebih berdisiplin dan lebih mengutamakan kualiti, maka tuntutan terhadap golongan guru sebagai golongan yang berada di barisan paling hadapan adalah jauh lebih hebat. Disebabkan itulah saya menjadikan agenda Memartabatkan Profesion Keguruan sebagai salah satu dari mandat dan tanggungjawab saya sebagai warga pendidik.

Hasrat agenda ini adalah untuk memastikan bukan sahaja kita dapat menghasilkan guru yang berkualiti, tetapi lebih jauh daripada itu, iaitu untuk memastikan mereka yang berkualiti ini kekal di dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Maka empat strategi utama telah dirangka agar dapat memenuhi sebahagian besar keperluan intelektual, rohani, fizikal dan emosional para guru; bermula dari langkah untuk memantapkan pemilihan bakal guru dan latihan guru, menambah baik karier keguruan dan persekitaran kerja guru sehinggalah kepada usaha untuk meningkatkan rasa bangga guru terhadap profesion keguruan dan mengembalikan perasaan hormat masyarakat terhadap golongan guru.

Alhamdulillah, hanya guru yang bangga dengan profesion mereka serta menerimanya sebagai amanah dan tanggungjawab yang mulia demi memartabatkan agama, bangsa dan negara sahaja yang akan bersungguh-sungguh berusaha mencipta juara, bukan sahaja di kalangan murid yang pintar, tetapi juga di kalangan murid mereka yang lemah dan yang kurang upaya. Mereka ini jugalah yang sanggup berkorban untuk ditempatkan di mana sahaja, baik di kawasan luar bandar mahupun di kawasan pedalaman. Bagi mereka, segala-galanya ini adalah demi agama, bangsa dan negara. Saya sentiasa berdoa agar sistem pendidikan negara akan terus dirahmati dengan guru-guru sebegini kerana saya yakin, keikhlasan dan pengorbanan seperti inilah yang dapat menggerakkan fikiran serta emosi masyarakat untuk memberi penghormatan dan penghargaan secara berterusan kepada golongan guru.

Akhir kata, sempena perayaan Hari Guru pada tahun ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga pendidik di atas segala pengorbanan yang dicurahkan selama ini. Kata bijak pandai, “guru yang baik adalah mereka yang menghidupkan harapan, menyemarakkan imaginasi dan menggalakkan keseronokan belajar.” Semoga warga pendidik akan terus menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak Malaysia. Marilah kita sama-sama memperbaharui tekad dan azam untuk terus mendukung sistem pendidikan negara ke arah mewujudkan masyarakat yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

"Guru Pembina Negara Bangsa"

Selamat Hari Guru

Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualikum warahmatullahi wabarakatuh

ILUSTRASI KHAIRRUL ADZWAN NUL MUFLIHUN